Ahad, 16 Februari 2020 | 10:29am

Tidak sampai dua jam samun, dah kena cekup

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menyelesaikan kes samun telefon bimbit hanya kira-kira dua jam selepas kejadian membabitkan seorang wanita di tepi Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Selatan, dekat sini.

Hasil siasatan, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di sebuah pusat beli belah di Serdang.

Kira-kira dua jam selepas telefon bimbit seorang wanita disamun, polis berjaya menyelesaikan kes itu dengan menahan seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Serdang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa kerugian ribuan ringgit akibat disamun suspek yang menunggang motosikal di tepi Jalan Dataran Cheras 2, Cheras Selatan, dekat sini.

Katanya, hasil siasatan membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki, 36, dipercayai terbabit dalam modus operandi sama.

“Kita mendapati suspek pertama itu mempunyai rekod jenayah dadah dan motosikal digunakannya untuk menyamun wanita itu turut dirampas.

“Seorang lagi lelaki berkenaan, pula disyaki mempunyai kepakaran untuk menggodam sistem telefon bimbit. Turut dirampas 11 telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata, kedua-dua suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan bagi membantu siasatan boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Radzee Jamudi di talian 019-6655811,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X