Jumaat, 21 Februari 2020 | 10:40am
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, Rosmah beri keterangan petang ini

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memberi keterangan berhubung pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Najib dijangka memberi keterangan bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Duta di sini, pada jam 2.30 petang.

Semalam, polis memaklumkan akan memanggil Najib dan Rosmah ke Bukit Aman pagi ini, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio berkenaan dengan proses itu akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata, lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan berhubung pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, timbalannya, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

SPRM pada 8 Januari mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai yang turut membabitkan beberapa kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada pihak tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit tulen.

Berita Harian X