Jumaat, 21 Februari 2020 | 4:00pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kira-kira 3 petang tadi untuk memberi keterangan.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kira-kira 3 petang tadi untuk memberi keterangan.

Najib, Rosmah beri keterangan kepada SPRM pula

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, kira-kira 3 petang tadi untuk memberi keterangan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil mereka untuk memberi keterangan berhubung pendedahan rakaman audio.

Pagi tadi, Najib dan Rosmah memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio berkenaan.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata, lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi siasatan berhubung pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, Timbalannya, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai suruhanjaya itu memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

SPRM pada 8 Januari mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai yang turut membabitkan beberapa kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengar SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada pihak tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit tulen.

Berita Harian X