Jumaat, 21 Februari 2020 | 5:14pm
KENDERAAN yang membawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor keluar dari pekarangan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta hadir untuk beri keterangan. NSTP/Aswadi Alias.
KENDERAAN yang membawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor keluar dari pekarangan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta hadir untuk beri keterangan. NSTP/Aswadi Alias.

Najib, Rosmah selesai 'menghadap' SPRM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Mereka tiba di Akademi Pencegahan Rasuah (MACA) pada jam 3 petang dan proses memberi keterangan selepas dalam tempoh sejam.

Keterangan kedua-duanya diambil susulan siasatan berhubung pendedahan klip audio oleh SPRM, baru-baru ini.

Peguam Rosmah, N Rajivan, berkata pasangan itu hanya memberi keterangan berhubung kes dan SPRM tidak meminta sebarang dokumen.

“Keterangan mereka diambil secara berasingan di Akademi SPRM dan tidak dimaklumkan sama ada akan dipanggil semula oleh SPRM,” katanya di sini, hari ini.

Pagi tadi, Najib dan Rosmah memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan susulan pendedahan klip audio berkenaan.

Sementara itu, SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan memanggil Najib dan Rosmah bagi membantu siasatan berhubung isu rakaman audio.

“Najib dan Rosmah tiba di akademi kira-kira jam 3 petang dan dirakam percakapan selama satu jam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009," kata kenyataan itu.

Pada 15 Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya; timbalannya, Datuk Seri Azam Baki; dan lima pegawai suruhanjaya itu memberi keterangan hampir empat jam kepada polis berkaitan rakaman audio berkenaan.

SPRM pada 8 Januari mendedahkan nama 20 individu termasuk Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dirakam perbualannya, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

Senarai yang turut membabitkan beberapa kenamaan asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan 45 minit diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.

Semua rakaman perbualan yang didedahkan itu dipercayai berlaku di antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada pihak tidak didedahkan, tetapi agensi antirasuah itu yakin rakaman terbabit tulen.

Berita Harian X