Ahad, 23 Februari 2020 | 7:36am
VIDEO yang tular di media sosial kejadian rompakan sebuah kedai emas di pusat beli belah.
VIDEO yang tular di media sosial kejadian rompakan sebuah kedai emas di pusat beli belah.

Pengunjung pusat beli-belah bergelut dengan penjenayah

KLANG: Pengunjung sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang, dekat sini gempar apabila dua individu nekad melakukan rompakan di sebuah kedai emas di situ, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, dua penjenayah berkenaan meluru masuk ke kedai terbabit ketika pekerja sedang bersiap-siap untuk menamatkan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata polis menerima panggilan orang awam pada jam 10.15 malam memaklumkan kejadian samun membabitkan dua lelaki di kedai terbabit.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila suspek, iaitu dua lelaki memakai topi keledar, bervisor gelap masuk ke dalam kedai.

“Suspek yang bersenjatakan tukul besi itu memecahkan cermin kaca lalu mengambil barangan kemas,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, pada masa sama, pengawal keselamatan mengacukan senjata ke arah suspek dan suspek terus melarikan diri ke arah pintu keluar pada jarak kira-kira 20 meter.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu membantu menangkap seorang suspek dan menemui kembali barangan kemas dirompak dan merampas tukul digunakan dalam kejadian itu.

“Suspek yang cuba melarikan diri itu cedera ketika bergelut dengan orang awam sebelum berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang berumur 19 tahun itu seorang warga tempatan.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Berikutan kejadian itu, beberapa video tular di media sosial termasuk video dipercayai seorang suspek dalam keadaan cedera terbaring di dalam kedai emas terbabit.

Turut kelihatan juga sebuah video pengawal keselamatan mengacukan pistol ke arah dua penjenayah yang melarikan barang kemas terbabit.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X