Isnin, 24 Februari 2020 | 6:21pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Mahkamah tolak permohonan Najib mahu temubual saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan perintah bagi menemubual bakal saksi iaitu pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebelum dipanggil memberikan keterangan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati kes pembelaan tidak akan terjejas jika saksi terbabit, iaitu Pegawai Penyiasat kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Amir tidak ditemubual peguam bela.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata, Mohd Nasharudin bukan seorang daripada saksi bagi pihak pendakwaan ataupun saksi yang ditawarkan oleh pendakwaan kepada pihak pembelaan.

Beliau berkata, fakta bahawa saksi itu adalah pegawai awam dan bekas pegawai penyiasat bagi kes yang lain tidak akan mengubah kedudukannya itu.

“Dalam mana-mana keadaan pun , hak tertuduh untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dalam kes ini adalah tidak terjejas.

“Ia adalah kerana tertuduh ada hak untuk memanggil bakal saksi itu yang masih di bawah sepina dan beliau adalah saksi yang bertanggungjawab untuk memberikan keterangan yang benar di mahkamah jika dipanggil pihak pembelaan.

“Oleh demikian, permohonan untuk menemubual saksi adalah dengan ini ditolak,” katanya.

Hakim itu berkata demikian pada prosiding perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Pihak pembelaan memohon perintah mahkamah untuk menemubual Mohd Nasharudin sebelum pegawai SPRM itu memberikan keterangan sebagai saksinya berikutan beliau (Nasharudin) enggan ditemubual sebelum ini.

Pembelaan menegaskan ia sangat penting bagi anak guam mereka untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan berhak untuk menemubual saksi supaya mereka mendapat bukti yang relevan.

Sementara itu, mahkamah diberitahu bahawa pihak pembelaan tidak akan memanggil pakar tulisan tangan dari Australia, Steven Starch untuk mengesahkan kesahihan beberapa dokumen SRC International yang ditandatangani Najib.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, pihak pendakwaan menerima surat daripada peguam Najib pada 21 Februari lalu yang menyatakan bahawa pembelaan tidak dapat meneruskan dengan prosiding membabitkan laporan oleh pakar luar negara itu kerana perkembangan lanjut mengenai isu berkenaan menemui jalan buntu.

Sithambaram berkata, surat itu juga menyatakan bahawa pihak pembelaan tidak dikemukakan dengan laporan awal oleh pakar.

Perkara terbabit disahkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

Antara dokumen yang dipertikaikan itu membabitkan Minit Pemegang Saham SRC berhubung pinjaman wang yang dibuat oleh syarikat itu daripada Kumpulan Wang Persaraan Wang (Diperbadankan) (KWAP).

Dokumen lain pula membabitkan arahan bagi pemindahan wang ke Ambank di mana Najib memiliki akaun peribadi.

Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah, bahawa pihaknya akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad; dan Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya untuk memberikan keterangan sebagai saksi pembelaan.

Muhammad Shafee berkata, Mohamed Apandi mematuhi sepina yang dikeluarkan pihaknya, bagaimanapun memohon untuk ditemubual pada tarikh yang lain kerana perlu menziarahi ibunya sakit.

Berita Harian X