Rabu, 26 Februari 2020 | 5:53pm
Kebakaran yang mengakibatkan tujuh beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, Beaufort. - Foto ihsan Polis
Kebakaran yang mengakibatkan tujuh beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, Beaufort. - Foto ihsan Polis

Korban tujuh beranak: Bomba siasat pelbagai sudut

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah masih menjalankan siasatan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kebakaran yang mengorbankan tujuh beranak dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata siasatan awal di lokasi oleh pasukan forensik bomba dan pasukan unit anjing pengesan (K9) menemui bahan bukti yang boleh mengaitkan perbuatan khianat (arson) dan bukti punca daripada masalah elektrik.

“Semua bahan-bahan yang ditemui di lokasi kebakaran sudah dibawa ke makmal untuk dianalisis bagi mengenal pasti punca kebakaran itu berlaku.

“Setakat ini, punca kebakaran masih dalam siasatan dan bomba akan melakukan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarulzaman berkata, keputusan ujian makmal akan diketahui dalam tempoh masa 48 jam.

“Setakat ini hasil siasatan awal mendapati, semua mangsa dipercayai tidak dapat keluar dari rumah disebabkan jeriji rumah yang berkunci.

“Saksi yang ditemui juga memberitahu mendengar jeritan meminta tolong daripada dalam rumah berkenaan,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian itu, seorang wanita bersama enam anaknya ditemui rentung oleh bomba sebaik api berjaya dikawal.

Mangsa iaitu Nadia, 25, warga Indonesia, enam anaknya dikenali sebagai Samasan Romel, 2; Faisal, 5; Danial, 7; Shasha, 10; Aisa, 13; dan Nana 14.

Suaminya, Romel Sharif, 34, parah manakala anak sulung lelakinya Rezwan, 15, serta sepupunya Rizal cedera dan semua mereka kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Mayat tujuh beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, Beaufort. - Foto ihsan Polis
Mayat tujuh beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, Beaufort. - Foto ihsan Polis

Berita Harian X