Rabu, 26 Februari 2020 | 7:22pm
Saksi pembelaan Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd Datuk Rosman Abdullah hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini, pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.
 - Foto BERNAMA
Saksi pembelaan Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd Datuk Rosman Abdullah hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini, pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.
 - Foto BERNAMA

RM32 juta daripada Putra Perdana masuk akaun Najib

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, wang berjumlah RM32 juta dipindah masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak atas arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.

Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPSB), Datuk Rosman Abdullah, 53, dalam keterangannya berkata wang itu adalah sebahagian daripada RM170 juta yang sebelum itu dimasukkan ke dalam akaun PPSB.

Menurut Rosman, sebahagian daripada RM170 juta, iaitu wang berjumlah RM34.9 juta dipindah keluar daripada akaun PPSB dan dimasukkan ke dalam akaun Permai Binaraya Sdn Bhd.

Menurut Rosman yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Putrajaya Perdana Berhad (PPB), daripada jumlah itu RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun Ambank Najib dengan nombor akaun berakhir 880 pada 8 Julai 2014 manakala RM5 juta berakhir di dalam akaun bekas Perdana Menteri itu melalui akaun berakhir 906 pada 10 September 2014.

PPSB dan PBSB adalah syarikat subsidiari kepada PPB.

Rosman berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya yang menunjukkan transaksi perbankan perjalanan wang terbabit ketika menjawab soalan peguam Farhan Read pada sesi pemeriksaan utama.

Saksi pembelaan kelapan itu berkata, beliau mulanya diberitahu oleh Jho Low bahawa wang RM170 itu adalah pendahuluan bagi kontrak sedang dirundingkan oleh beliau (Jho Low) yang akan dimasuki oleh PPC.

Rosman berkata, wang berjumlah RM170 juta itu dimasukkan ke dalam akaun PPSB melalui tiga peringkat iaitu RM35 juta pada 8 Julai 2014; RM105 juta pada 14 Julai 2014 dan RM30 juta pada 8 Ogos 2014 atas arahan Jho Low.

Saksi itu berkata, mulanya beliau tidak mengetahui bahawa akaun berakhir dengan nombor 880 dan 906 adalah milik Najib.

“Saya sangat terkejut apabila kemudiannya mendapat tahu melalui penerbitan dalam internet yang mendakwa bahawa akaun itu milik Najib.

“Apabila saya ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2015, pegawai penyiasat beritahu perkara sama,” katanya,

Rosman berkata demikian ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi oleh Najib.

Sementara itu, Rosman berkata pihaknya tidak pernah membuat sebarang perjanjian untuk mendahulukan wang kepada Najib, malah beliau tidak pernah mengizinkan tindakan sebegitu.

Rosman berkata, sebelum ditahan SPRM pada 24 Julai 2015, beliau melihat Jho Low sebagai seorang ahli perniagaan yang jujur dan kompeten.

Katanya, perhubungan beliau dan Jho Low pada waktu itu boleh dianggap sebagai ‘perhubungan profesional yang mesra’.

“Selepas saya ditahan dan direman dan kini selepas saya sudah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku kepada pindahan RM170 juta itu, saya boleh gambarkan beliau sebagai seorang penipu, cekap dan sangat licik.

“Jho Low menipu saya, saya tidak tahu bahawa SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan dan akaun Ambank adalah milik Najib.

“Saya kemudian dibebaskan dan diberi surat pelepasan daripada SPRM dan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Saksi itu selanjutnya berkata, beliau cuba menghubungi rakan sekutu ahli perniagaan itu bagaimanapun tiada seorang pun yang memberikan maklum balas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Berita Harian X