Ahad, 1 March 2020 | 9:43am

Maut tertembak rakan ketika berburu

PASIR PUTEH: Seorang pesara tentera maut dipercayai terkena tembakan ketika berburu bersama rakannya dalam kejadian di sebuah bukit di Kampung Gong Genur, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 69 tahun itu dipercayai tertembak mangsa, Mohd Sazuki Shafeii, 48 yang disangka binatang dalam kejadian jam 7.50 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Mohd Azmir Damiri, berkata rakan mangsa tertembak mangsa dengan senapang patah dari jarak 200 meter.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 7.50 malam apabila rakan mangsa itu menghubungi polis memaklumkan kejadian yang berlaku.

"Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terkena sebutir peluru tepat di bahagian dada yang menyebabkan kematian," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Anis, di sini.

Mohd Azmir berkata, rakan mangsa dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke tempat yang disangka binatang namun terkejut apabila mendapati yang ditembak adalah Sazuki.

Katanya, lelaki itu ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).

Sementara itu, isteri mangsa, Nik Intan Musnita Nik Mustapha, 44, berkata, arwah suaminya keluar rumah untuk berburu bersama rakannya, kira-kira jam 2 petang.

Katanya, namun dia tidak sempat melihat suaminya buat kali terakhir kerana dia sedang solat dan hanya dimaklumkan anaknya yang suaminya keluar berburu.

"Anak beritahu abah (Sazuki) dah tubik (keluar), kami tidak tahu kejadian yang menimpa suami hinggalah malam tadi ahli keluarga beritahu selepas dimaklumkan polis," katanya yang kelihatan lemah.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia lima hingga 19 tahun.

Berita Harian X