Selasa, 3 March 2020 | 6:07pm

Wanita maut, lori balak terbalik hempap kereta

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita maut selepas lori membawa muatan kayu balak terbalik menghempap kereta yang dipandunya dalam kemalangan di Jalan Bukit Teh, Machang Bubok, dekat sini.

Pemandu Proton Iswara yang terperangkap di bawah timbunan kayu balak itu dikenali sebagai Ong Yean Leng, 37.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang ketika dihubungi mengesahkan identiti mangsa yang didapati tersepit di bahagian pemandu kereta berkenaan.

“Kerja menyelamat membabitkan dua kren bagi mengalihkan lori dan kayu balak yang menghempap kenderaan berkenaan sebelum mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Mangsa dikeluarkan pada jam 7.26 petang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Bomba menerima maklumat kejadian berkenaan pada jam 3.58 petang dan pasukan bomba dan penyelamat dari Bukit Mertajam serta Sungai Bakap dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat orang ramai.

Kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu kenderaan itu mengambil masa berikutan perlu mengalihkan lori dan muatan balak terbabit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Mustafa Bidin, ketika dihubungi berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta menukar lorong secara tiba-tiba dipercayai menjadi punca kemalangan.

Katanya, siasatan mendapati, ketika pemandu treler berada di jalan menghala ke arah Jawi, kereta terbabit telah masuk ke lorong bertentangan.

Akibatnya, berlaku pertembungan kedua-dua kenderaan itu dan pemandu treler yang hilang kawalan masuk ke bahagian kanan bahu jalan.

"Treler yang dipandu lelaki berusia 56 tahun itu kemudian terbabas bersama muatan kayu balak sebelum terbalik dan menghempap kereta yang dipandu wanita berkenaan.

"Kerja menyelamat bagi mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa selama tiga jam," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Mustafa berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebuah Lori membawa muatan kayu terbalik menghempap sebuah kereta dipercayai terdapat beberapa mangsa yang tersepit dan pihak bomba dalam usaha mengeluarkan mangsa dalam kejadian di Jalan Bukit Teh menghala Machang Bubuk, Bukit Mertajam. - Foto ihsan Bomba

Berita berkaitan

Mangsa dihempap lori balak dikenalpasti

Sebuah Lori membawa muatan kayu terbalik menghempap sebuah kereta dipercayai terdapat beberapa mangsa yang tersepit dan pihak bomba dalam usaha mengeluarkan mangsa dalam kejadian di Jalan Bukit Teh menghala Machang Bubuk, Bukit Mertajam. - Foto ihsan Bomba
Sebuah Lori membawa muatan kayu terbalik menghempap sebuah kereta dipercayai terdapat beberapa mangsa yang tersepit dan pihak bomba dalam usaha mengeluarkan mangsa dalam kejadian di Jalan Bukit Teh menghala Machang Bubuk, Bukit Mertajam. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X