X
Khamis, 5 March 2020 | 7:22pm
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) pada prosiding bela diri kes rasuah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) pada prosiding bela diri kes rasuah RM2 juta di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, semalam. - Foto Saifullizan Tamadi

SPRM siasat pendedahan aset Ku Nan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap bekas Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung aset berjumlah kira-kira RM800 juta yang didedahkannya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata pihaknya tidak berminat mengenai jumlah aset yang didedahkan tetapi mahu menyiasat ‘bagaimana ia diperoleh’.

Katanya, pendedahan mengenai aset Tengku Adnan ketika perbicaraan rasuah bekas menteri itu semalam adalah perkara yang serius.

“Saya sudah mengarahkan SPRM untuk memulakan siasatan. Isu kami bukan membabitkan pendedahan aset tetapi bagaimana beliau memperolehinya,” katanya.

Beliau ditemui selepas memberi keterangan selaku saksi ke-13 pembelaan pada perbicaraan hari ke-88 kes SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Pada perbicaraan kes rasuahnya semalam, Tengku Adnan berkata beliau mengisytiharkan harta berjumlah RM938,643,566.16 kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2001.

Berita Harian X