Jumaat, 6 March 2020 | 2:20pm

Kantoi curi seluar dalam

KUALA LUMPUR: Perangai pelik seorang tukang cermin yang kerap mencuri pakaian dalam milik seorang wanita akhirnya membawa padah apabila ditahan di sebuah lokasi di Kota Emerald, Rawang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata tangkapan ke atas suspek itu susulan aduan daripada mangsa yang tinggal di Bandar Country Homes, Rabu lalu mendakwa pakaian dalam miliknya kerap hilang.

“Pada Rabu lalu kira-kira jam 10 pagi, mangsa mendapati tiga seluar dalam miliknya yang disidai di ampaian hilang dipercayai dicuri.

“Wanita itu kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya dan kelihatan seorang lelaki tidak dikenali memakai topi dan penutup muka mencuri seluar dalam terbabit.

“Beberapa bulan lalu, mangsa ada menyedari pakaian dalam miliknya sering hilang. Keseluruhan nilai kerugian dianggarkan RM600,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan, sepasukan anggota pegawai dan anggota dari Balai Polis Rawang kemudian ke Kota Emerald, Rawang untuk mengesan suspek dan berjaya menangkapnya kira-kira jam 6.51 petang.

“Semakan mendapati suspek yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai tukang cermin tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X