Isnin, 9 March 2020 | 11:13am
Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran treler dan lori yang terbabit kemalangan di Kilometer 126, Jalan Jerangau-Jabur yang menyebabkan pemandu treler rentung. - - Foto Rosli Ilham
Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran treler dan lori yang terbabit kemalangan di Kilometer 126, Jalan Jerangau-Jabur yang menyebabkan pemandu treler rentung. - - Foto Rosli Ilham

Pemandu treler rentung, anak parah

CHUKAI: Seorang pemandu treler rentung manakala anaknya parah dalam kemalangan membabitkan pertembungan treler dan lori sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar, awal pagi tadi.

Kemalangan yang berlaku di Kilometer 126, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Kampung Lubuk Lesung itu berlaku kira-kira jam 5.15 pagi mengorbankan Megat Razak Megat Jusoh, 53, yang tersepit di tempat duduk.

Bagaimanapun anaknya, Megat Haniff Iqbal Megat Razak, 22, yang cedera parah berjaya dikeluarkan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata treler jenis Volvo muatan kayu yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Jerangau menghala ke Jabur.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, sebuah lori jenis Nissan milik syarikat penghantaran ekspres dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki kanan jalan sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan pemandu lori terbabit, Syahrullah Abdul Salam, 38, tercampak keluar daripada kenderaannya dan mengalami kecederaan parah.

“Pemandu lori dan kelindan treler terbabit dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut manakala pemandu treler dihantar ke bilik forensik hospital yang sama untuk siasatan lanjut, “katanya.

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran treler dan lori yang terbabit kemalangan di Kilometer 126, Jalan Jerangau-Jabur yang menyebabkan pemandu treler rentung. - - Foto Rosli Ilham
Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran treler dan lori yang terbabit kemalangan di Kilometer 126, Jalan Jerangau-Jabur yang menyebabkan pemandu treler rentung. - - Foto Rosli Ilham

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Sementara itu, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.27 pagi bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, api sedang marak membakar kedua-dua kenderaan terbabit.

“Seramai 25 anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Chukai dan Cheneh terbabit dalam operasi pemadaman itu.

“Ketiadaan pili Bomba di kawasan sekitar tempat kejadian, menyebabkan pihak kami terpaksa berulang-alik mengangkut air dari kawasan yang jauh,”ckatanya.

Kerja-kerja pemadaman dan mengalih sisa kebakaran di tempat kejadian selesai sepenuhnya, kira-kira jam 10. 30 pagi ini.

Berita Harian X