Selasa, 10 March 2020 | 5:13pm
SPRM sudah menyediakan kertas siasatan dan cadangan pertuduhan terhadap Najib bagi mendakwa bekas Perdana Menteri itu pada 2015. - NSTP/Saifullizan Tamadi
SPRM sudah menyediakan kertas siasatan dan cadangan pertuduhan terhadap Najib bagi mendakwa bekas Perdana Menteri itu pada 2015. - NSTP/Saifullizan Tamadi

'Kertas dakwa Najib siap pada 2015'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyediakan kertas siasatan dan cadangan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi mendakwa bekas Perdana Menteri itu pada 2015.

SPRM mencadangkan pendakwaan terhadap Najib dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perkara itu dimaklumkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, 52, dalam keterangannya pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dzulkifli memberitahu mahkamah, Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, meminta SPRM membuat siasatan lanjut berhubung dua isu penting.

“Peguam Negara meminta SPRM menyiasat sama ada Najib mempunyai pengetahuan wang yang masuk ke akaun beliau adalah daripada SRC.

“SPRM juga diminta menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada Najib mengarahkan mana-mana individu untuk memasukkan wang ke dalam akaunnya,” katanya.

Berita Harian X