Rabu, 11 March 2020 | 10:51am

EKSKLUSIF: Lebih 70 penguat kuasa dijangka ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Lebih 70 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa di utara Semenanjung, kini dalam pemantauan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan tangkapan 12 pegawai kanan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Pulau Pinang kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan, semalam.

Sumber berkata, semua pegawai dan anggota penguat kuasa terbabit disyaki menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sebulan bagi menutup kesalahan seperti lebih muatan atau pembocoran maklumat awal berkaitan operasi akan dijalankan.

Katanya, mereka dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan, selain dijangka ditahan dalam masa terdekat.

“Operasi khas ini terbahagi kepada beberapa fasa dengan 12 orang, termasuk pegawai kanan yang mengetuai jabatan penguat kuasa di peringkat negeri sudah ditahan semalam, dan permohonan reman ke atas mereka dibuat pagi ini.

“Tangkapan ini adalah susulan keluhan pemandu lori yang mendakwa terpaksa membayar wang sogokan kepada pegawai penguat kuasa jika mahu memandu di negeri di utara tanah air tanpa gangguan atau tindakan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, 12 pegawai kanan JSPT Pulau Pinang berusia 31 hingga 59 tahun ditahan, masing-masing 11 di sekitar negeri itu manakala seorang lagi di Kuala Lumpur dalam operasi khas SPRM, antara jam 9 pagi hinggi 6 petang.

Berdasarkan siasatan awal, wang rasuah diterima kumpulan terbabit dianggarkan berjumlah hampir RM500,000 dengan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Mengulas hasil risikan kes itu, sumber memaklumkan, ada pemandu lori didakwa diugut kumpulan penguat kuasa terbabit, jika gagal membayar wang sogokan.

Selain itu, katanya, kumpulan terbabit dikatakan meminta syarikat logistik berhenti merasuah mereka bagi suatu tempoh untuk mengelak daripada menjadi perhatian SPRM.

Bagaimanapun kegiatan itu dikatakan kembali seperti sedia kala, selepas setahun kes tahanan dilakukan ke atas puluhan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilakukan, April tahun lalu.

“Ini menyebabkan gelombang kedua operasi membanteras kegiatan sedemikian dilakukan dengan suspek kebiasaannya melakukan pemindahan wang menggunakan akaun milik ejen, ahli keluarga atau rakan pegawai terbabit.

“Ada antara mereka yang meminta ‘pampasan’ bagi beberapa bulan ‘yang direhatkan’ seketika itu, selain kegiatan mereka dipercayai bermula sejak Julai tahun lalu, iaitu tiga bulan selepas tangkapan ke atas penguat kuasa JPJ di Pulau Pinang.

“Mereka pada mulanya takut dan semua pemindahan wang digantung selama dua bulan (Mei dan Jun 2019). Bagaimanapun, bayaran bagi Julai dikatakan perlu digandakan sebagai ‘pampasan’ untuk bulan sebelumnya.

“Bayaran boleh dibuat secara segera apabila sesebuah lori didapati mempunyai masalah dalam sekatan jalan raya. Bagaimanapun terdapat skim bayaran bulanan bagi mendapatkan ‘perlindungan’ daripada penguat kuasa,” katanya.

Berita Harian X