Khamis, 12 March 2020 | 7:06pm
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak.
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (kiri) dan Datuk Seri Najib Razak.

Pasukan pembelaan kuarantin sendiri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak selepas barisan pembelaan termasuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu dijangkiti COVID-19.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan semalam, selepas wakil daripada Tetuan Shafee & Co, Nur Farhah Mustaffa memaklumkan barisan pembelaan 1MDB menjalani kuarantin sendiri berikutan majlis kenduri yang diadakan Muhammad Shafee di rumahnya pada 7 Mac lalu.

Nur Farhan memberitahu mahkamah, kenduri itu dihadiri kakak ipar Muhammad Shafee dan pasukan pembelaan 1MDB.

“Kira-kira jam 12 tengah hari tadi, isteri Muhammad Shafee menerima panggilan memaklumkan kakaknya bekerja dengan individu yang disahkan positif COVID-19 di ibu pejabat SIRIM Berhad di Shah Alam, Selangor.

“Kakak ipar Muhammad Shafee dan rakan sekerjanya duduk bersebelahan di pejabat dan beliau diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 hari ini,” katanya.

Semalam, SIRIM mengeluarkan kenyataan mengesahkan seorang kakitangannya positif COVID-19.

Pada prosiding itu, meja yang menempatkan barisan pembelaan kosong tanpa kehadiran Muhammad Shafee dan peguam lain sementara Najib yang berada di kandang tertuduh dilihat hanya memerhati prosiding berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan Muhammad Shafee mengemukakan surat mengesahkan kakak iparnya menjalani ujian saringan COVID-19 dan surat mengarahkan pasukan pembelaan menjalani kuarantin sendiri.

“Tanpa kedua-dua surat ini, saya tidak melihat sebarang alasan kenapa perbicaraan ini tidak boleh diteruskan esok (hari ini),” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah penangguhan itu.

Sri Ram memaklumkan beliau turut diarahkan menjalani ujian itu kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit di bawah siasatan COVID-19.

Sekiranya perbicaraan diteruskan, Muhammad Shafee dijangka menyoal balas saksi kesembilan pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Berita Harian X