Ahad, 15 March 2020 | 7:59pm

Lelaki seludup syabu lebih RM1juta dalam tayar diberkas

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup masuk dadah jenis syabu bernilai lebih RM1 juta dari arah perairan Indonesia ke Tawau, Sabah, gagal selepas ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), Tawau, semalam.

Lelaki berusia 42 tahun yang menaiki sebuah bot itu ditahan oleh PGA Batalion 14 Tawau, di Pos Platun Taktikal Wallace Bay, Tawau, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan dengan membawa empat unit tayar kenderaan berserta rim dari arah Nunukan, Indonesia ke Malaysia

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis menemui lima bungkusan berwarna hijau dalam setiap tayar kenderaan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 bungkusan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati setiap bungkusan mengandungi plastik lutsinar mengandungi dadah syabu seberat lebih 21 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM1,166,460.

"Susulan daripada itu, pihak polis kemudian menahan reman lelaki terbabit selama tujuh hari bermula hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Acryl berkata, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ketenteraman Awam, Bukit Aman, berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran rokok seludup di sekitar ibu negara.

Katanya, serbuan ke atas kedua-dua sindiket terbabit dibuat pada Jumaat dan Sabtu lalu di sekitar Kepong dan Jinjang, di sini.

"Hasil kedua-dua operasi ini membawa kepada rampasan sebanyak 6,683,333 batang rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM5,020,000.

"Dalam operasi sama juga pihak polis menahan 12 lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 53 tahun serta merampas lima buah lori, tiga buah van dan sebuah kereta MPV jenis Alphard," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan reman di Lokap Berpusat Jinjang dan disiasat mengikut Seksyen 116 (c) Akta Kastam 1967.

Kedua-dua sindiket ini dilaporkan bergiat aktif selepas dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau juga mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan.

Berita Harian X