Selasa, 24 March 2020 | 5:42pm
Anggota polis giat menjalankan sekatan jalan raya ketika tinjauan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketujuh di Jalan Lapangan Terbang, Subang, hari ini. - Foto hiasan
Anggota polis giat menjalankan sekatan jalan raya ketika tinjauan berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ketujuh di Jalan Lapangan Terbang, Subang, hari ini. - Foto hiasan

4 remaja ditahan ingkar PKP, tiada lesen memandu

BATU PAHAT: Empat remaja berusia lingkungan 17 hingga 19 tahun ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menghalang penjawat awam melakukan tugasan di Ayer Hitam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, sepasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membuat pemeriksaan di sebuah sekatan jalan raya melihat sebuah pacuan empat roda yang mencurigakan sekitar jam 3.15 pagi.

Toyota Hilux dinaiki empat remaja terbabit juga tergesa-gesa membuat pusingan U apabila melihat sekatan jalan raya di situ.

“Sebuah kereta peronda polis (MPV) mengejar dan memberikan arahan untuk memberhentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara, namun mereka enggan bekerjasama malah menghimpit kenderaan polis beberapa kali.

“Kenderaan yang dipandu suspek juga turut melanggar sekatan jalan raya di Parit Raja dan hampir merempuh kenderaan Team Task Force COVID-19 yang membuat sekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kenderaan pacuan empat roda berkenaan berjaya ditahan di Persimpangan Jalan Ayer Hitam-Yong Peng dengan bantuan unit MPV lain dan berlaku pergelutan selepas suspek enggan memberikan kerjasama ketika tangkapan dilakukan.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati tiada barang yang menyalahi undang-undang ditemui dan polis percaya punca mereka melarikan diri disebabkan pemandu tidak mempunyai lesen memandu sah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang penumpang positif dadah dan kes disiasat mengikut Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Azhan berkata, semua suspek terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya polis.

“Dalam pada itu siasatan juga dibuka oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik mengikut Seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X