Selasa, 24 March 2020 | 8:21pm
Senapang buatan sendiri yang mencederakan seorang warga emas di Serian. - Foto ihsan Polis
Senapang buatan sendiri yang mencederakan seorang warga emas di Serian. - Foto ihsan Polis

Cucu tertembak nenek ketika bergurau

SERIAN: Gurauan seorang cucu dengan neneknya bertukar tragedi apabila warga emas itu pengsan selepas terkena tembakan di kepala.

Cucu perempuan mangsa berusia 16 tahun dikatakan tertembak mangsa menggunakan senapang buatan sendiri kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata kejadian berlaku ketika suspek bergurau dengan neneknya.

“Mangsa mengalami kecederaan di atas kening sebelah kanan akibat tembakan itu dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ekoran kejadian, bapa suspek yang juga anak mangsa membuat laporan di Balai Polis Serian.

Susulan itu, katanya cucu mangsa telah ditangkap dan senapang yang digunakan turut dirampas.

Katanya, senapang itu dimiliki oleh adik suspek, yang turut ditangkap.

“Difahamkan dia belajar membuat senapang itu daripada Youtube,” katanya.

Aswandy berkata kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960.

Berita Harian X