Rabu, 25 March 2020 | 11:53am
Dua lelaki termasuk anggota polis berpangkat koperal didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Isnin lalu. - Foto STR/Noor Hidayah Tanzizi
Dua lelaki termasuk anggota polis berpangkat koperal didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Isnin lalu. - Foto STR/Noor Hidayah Tanzizi

Polis, nelayan didenda ingkar PKP

MANJUNG: Dua lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat koperal didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Isnin lalu.

Tertuduh, Mohamad Safarrudin Alias, 33, dan Nashrull Awang, 43, yang berkerja sebagai nelayan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Nur Shaqira Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh masing-masing didapati bergerak dari satu tempat yang lain iaitu Berek Polis Balai Kampung Rapat Ipoh dan 178-B Lorong Bahagia Kampung Serdang, Sitiawan ke suatu tempat yang lain iaitu di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan.

Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Besar Lumut Kiri, Sitiawan pada 4.15 pagi, 23 Mac lalu.

Terdahulu, dalam mahkamah sama, Mohamad Safarrudin yang juga anggota polis turut didakwa memiliki peralatan pecah rumah seperti pengikis, pemotong besi, kuku kambing, playar ragum dan pisau serbaguna dalam beg sandang digalasnya di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan berkenaan, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 28(i) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum denda maksimum RM250 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didenda RM250 atau penjara seminggu sekiranya gagal membayar denda.

Nashrull turut didakwa apabila ada dalam pemilikannya sarang burung walit dengan berat anggaran 415 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Dia didenda RM600 atau penjara sebulan sekiranya gagal bayar denda bagi pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X