Jumaat, 27 March 2020 | 10:35am
Dua individu di Kuantan terpaksa menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud. - Foto hiasan
Dua individu di Kuantan terpaksa menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud. - Foto hiasan

Rugi ditipu ketika urusan jual beli topeng muka

KUANTAN: Dua individu di sini terpaksa menanggung kerugian lebih RM5,000 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata dalam kes pertama, seorang mekanik berusia 29 tahun rugi RM3,348 ditipu selepas membeli penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

“Pada 18 Mac lalu, mangsa lelaki tertarik dengan iklan jualan cecair pembasmi kuman di laman Facebook sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

“Hasil perbincangan, mangsa bersetuju untuk membeli bahan berkenaan sebanyak 100 botol dengan harga RM2,500.

“Pada sama, mangsa kemudian membuat pemindahan wang berjumlah RM2,500 ke dalam akaun yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, pada 19 Mac lalu, mangsa tertarik pula dengan jualan penutup hidung dan mulut di Facebook sebelum berurusan dengan seorang lelaki.

“Mangsa bersetuju membeli sebanyak 80 kotak penutup mulut hidung dan mulut dengan harga RM848 sebelum membuat pindahan wang.

“Namun, sehingga laporan dibuat mangsa masih belum menerima barangan berkenaan. Jumlah kerugian yang pengadu alami RM3,348,” katanya.

Sementara itu, seorang kontraktor wanita berusia 45 tahun terpaksa menanggung kerugian RM1,976 selepas diperdaya dalam urusan jual beli penutup mulut dan hidung, 23 Mac lalu.

Mohd Wazir berkata, pada hari kejadian mangsa melayari Facebook dan melihat jualan barang berkenaan sebelum berhubung dengan seorang wanita dan bersetuju untuk membeli 83 kotak topeng muka berharga RM1,976.

“Mangsa membuat empat kali pindahan wang ke dalam akaun diberikan namun sehingga hari ini wanita berkenaan masih belum menerima penutup mulut dan hidung berkenaan.

“Kedua-dua mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X