Jumaat, 27 March 2020 | 12:54pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

COVID-19: 3 ditahan ingkar PKP

KOTA TINGGI: Alasan memulangkan ‘power bank’ rakan tidak mampu menyelamatkan tiga remaja daripada ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malam tadi.

Tiga terbabit yang berusia 20-an ditahan sepasukan anggota Pasukan Petugas COVID-19 Kota Tinggi di Jalan Tanjung, FELDA Sungai Sibol, Kulai.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata mereka ditahan ketika berkumpul di satu tempat kira-kira jam 11.45 malam kerana mengingkari PKP.

“Ketika polis membuat rondaan, kami menemui sekumpulan remaja sedang berbual-bual. Apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi.

“Hasil siasatan awal mendapati remaja berkenaan memberi alasan berada di lokasi kejadian untuk memulangkan ‘power bank’ milik rakan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua remaja ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Mac ini.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 7 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan tidak mengendahkan polis dan ada yang melarikan diri daripada diperiksa,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X