Jumaat, 27 March 2020 | 1:49pm

11 lelaki termasuk 3 remaja ditahan langgar PKP

MERSING: Seramai 11 lelaki termasuk tiga remaja berusia 15 dan 16 tahun ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar kawasan ini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata tangkapan dilakukan terhadap mereka berusia 15 hingga 35 tahun di bawah dibawah peraturan 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020).

Katanya, tangkapan pertama dibuat ke atas tiga lelaki dalam dua kejadian berbeza ketika menaiki motosikal dalam rondaan Op COVID-19 di Jalan Besar Felda Tenggaroh 5, di sini, kira-kira 11.15 malam semalam.

“Selepas pemeriksaan dijalankan ketiga-tiga lelaki itu gagal memberi keterangan munasabah mengenai pergerakan mereka.

“Pada malam tadi, kira-kira jam 1 pagi, sekumpulan lelaki sedang berkumpul di bawah pokok di belakang sebuah rumah di kawasan Kampung Makam. Mereka cuba melarikan diri, namun pihak polis berjaya menahan dua lelaki.

“Pada malam tadi juga, lebih kurang jam 2.05 pagi semasa meronda pasukan polis ternampak sekumpulan lelaki sedang berkumpul di beranda kereta di Jalan Peria Taman Sri Nakhoda, di sini, dan 6 lelaki ditahan di lokasi itu.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing untuk tindakan lanjut kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak Polis menasihati orang awam supaya mematuhi arahan dikeluarkan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keatas mereka yang ingkar dan tidak mematuhi arahan,“ katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X