Jumaat, 27 March 2020 | 5:40pm
Polis menahan 116 warga asing di Muar kerana cuba menunaikan solat Jumaat di bumbung kilang. Foto hiasan NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Polis menahan 116 warga asing di Muar kerana cuba menunaikan solat Jumaat di bumbung kilang. Foto hiasan NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

116 ditahan cuba solat Jumaat di bumbung kilang

JOHOR BAHRU: Polis menahan 116 warga asing kerana cuba menunaikan solat Jumaat di bumbung sebuah kilang, di Muar, tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata semua warga asing itu ditahan kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, polis menerima makluman awam mengenai tindakan warga asing berkenaan berkumpul sebelum menghantar sepasukan anggota bagi membuat pemeriksaan.

“Kita menemui seramai 116 warga asing Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang mahu menunaikan solat jumaat ketika membuat pemeriksaan di kawasan bumbung kilang berkenaan.

“Semua mereka kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan, selain mengikut Akta Imigresen.

“Polis juga sedang menyiasat sama ada majikan mereka mengetahui tindakan mereka berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di premis kilang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, jumlah tangkapan individu mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan di Johor seramai 149 orang hari ini, termasuk 116 warga asing berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai tujuh lagi jemaah tabligh Malaysia yang menghadiri Himpunan Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia, tiba di Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut,di sini, hari ini.

“Mereka sudah disaring Kementerian Kesihatan dan didapati negatif COVID-19.

“Mereka yang mempunyai kaitan kluster tabligh Masjid Jamek Seri Petaling, diarah menjalani kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing, ” katanya.

Semalam, lapan jemaah tabligh Malaysia daripada Himpunan Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia, yang tiba di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, namun semuanya turut didapati negatif COVID-19 dan diarahkan menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Berita Harian X