Sabtu, 28 March 2020 | 10:31am
Anggota keselamatan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid. - Foto Ihsan Polis Johor
Anggota keselamatan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid. - Foto Ihsan Polis Johor

PKP: 4 ditahan leka memancing

KOTA TINGGI: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pelajar ketika leka memancing ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di jambatan Sungai Hutan Lesong, Kampung Teluk Tanjung Sedili, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata sepasukan Task Force COVID-19 Kota Tinggi menjalankan Rondaan Op Covid- 19 dan menahan kesemua individu berusia 13 hingga 42 tahun jam 9.45 pagi.

“Mereka ditahan ketika sedang leka memancing di atas jambatan Sungai Hutan Lesong dan melakukan kesalahan kerana tidak mematuhi PKP.

“Menyedari kehadiran polis, kesemua mereka melarikan diri, namun berjaya diberkas.

“Soal siasat awal mendapati kesemua mereka berada di lokasi untuk memancing walaupun PKP dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 7 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan juga mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan tidak mengendahkan polis, selain cuba melarikan diri daripada diperiksa.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X