Ahad, 29 March 2020 | 1:26pm

COVID-19: Reman wanita hina polis disambung dua hari

ALOR SETAR: Tempoh reman seorang wanita yang ditahan kerana menghina dan mengeluarkan kata-kata jelik terhadap polis menerusi media sosial pada Jumaat lalu, disambung dua hari sehingga Selasa ini.

Perintah lanjutan reman itu dibenarkan Majistret Siti Noorhidayah Mohd Noor yang menerima permohonan yang dibuat polis di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Ini adalah kes ketiga dikendalikan JSJK Kedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang wanita berusia 20 tahun ditahan polis jam 11.30 malam, selepas dia memuat naik status menghina polis di media sosial.

Wanita itu dikatakan memuat naik status itu selepas marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, di sini, kira-kira jam 9 malam.

Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan ditahan di rumahnya di sini.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Wanita yang ditahan polis kerana menghina polis dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk mendapatkan perintah sambung reman.- Foto Zuliaty Zulkiffli
    Wanita yang ditahan polis kerana menghina polis dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk mendapatkan perintah sambung reman.- Foto Zuliaty Zulkiffli
    Berita Harian X