Ahad, 29 March 2020 | 2:24pm
Van dinaiki mangsa terbabas di KM11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca
Van dinaiki mangsa terbabas di KM11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

Doktor, bayi maut nahas

GUA MUSANG: Seorang doktor dan bayinya berusia sembilan bulan maut selepas van Jabatan Kesihatan dinaiki terbabas di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, yang bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dan anaknya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi.

Kemalangan turut menyebabkan tujuh individu lain iaitu Mohd Lazim Abdullah, 56; Dr Siti Salwa Mohamad Shokri; 38, Syahirah Muhamad Razali, 20; Dr Norazma Mohamad, 34; Dr Linda Laili Ibrahim Shukri, 29; Dr Suzuanhafizan Omar, 32 dan Dr Hazirah Sazali, 33, cedera.

NOORANISAH Mohd Razali.
NOORANISAH Mohd Razali.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata nahas berlaku ketika van Toyota Hiace yang dinaiki dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Beliau berkata, semua petugas hospital menaiki van Kesihatan Hospital Kuala Krai untuk ke Hospital Gua Musang bagi menjalankan tugas berkaitan rawatan COVID-19.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu van dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas.

“Dr Nooranisah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Taufik berkata, anak mangsa meninggal dunia jam 11.02 pagi di HGM kerana kecederaan dalaman.

“Tujuh individu lain yang cedera bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai dan kini menerima rawatan di HGM serta dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata, mayat dua beranak itu dihantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami menzahirkan rasa sedih atas kejadian itu kerana mangsa untuk ke HGM menjalankan tugas,” katanya.

Berita Harian X