Ahad, 29 March 2020 | 3:53pm

Remaja 17 tahun ditahan ingkar PKP

JERTIH: Seorang remaja 17 tahun antara lima lelaki ditahan tidak mengendahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul di tepi jalan Kampung Desa Sri Medan Tembila, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata semua yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 38 tahun.

“Ini adalah kes tangkapan kedua selepas seorang lelaki ditahan Jumaat lalu di Kampung Raja.

“Dalam kejadian semalam, pasukan khas COVID-19 Besut sedang menjalankan Rondaan Ops COVID-19 di kawasan itu pada 10 malam.

“Anggota kami terserempak dengan kumpulan ini di tepi jalan dan mengarahkan mereka pulang ke rumah tetapi tidak diendahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rozak berkata, hasil pemeriksaan mendapati mereka keluar dari rumah tanpa alasan yang munasabah dan ingkar arahan PKP.

“Saringan ujian air kencing ke atas dua suspek berumur 34 dan 37 tahun positif Methamphetamine.

“Mereka ditahan kerana melanggar arahan PKP di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan Dan Peraturan (7) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X