Ahad, 29 March 2020 | 11:46pm
Antara topeng muka dirampas susulan penahanan seorang pekerja syarikat pembersihan yang disyaki mencuri 30 kotak topeng muka bernilai RM3,000 di Hospital Kuala Lipis. - FOTO IHSAN PDRM
Antara topeng muka dirampas susulan penahanan seorang pekerja syarikat pembersihan yang disyaki mencuri 30 kotak topeng muka bernilai RM3,000 di Hospital Kuala Lipis. - FOTO IHSAN PDRM

Pekerja syarikat pembersihan ditahan disyaki curi topeng muka di hospital

LIPIS: Seorang pekerja syarikat pembersihan ditahan, semalam, kerana disyaki mencuri 30 kotak topeng muka bernilai RM3,000 di Hospital Kuala Lipis, di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata suspek berusia 26 tahun disyaki mencuri topeng muka berkenaan yang disimpan di dalam sebuah stor hospital terbabit.

Beliau berkata, kejadian itu disedari seorang jururawat hospital berkenaan selepas mendapati hanya tinggal lima kotak topeng muka kira-kira jam 4 petang, berbanding 35 kotak yang masih ada pada jam 11.30 pagi.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang juga pekerja sebuah syarikat berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dilihat memasuki wad dan dipercayai memasuki stor terbabit.

“Dalam rakaman itu, kelihatan suspek menuju ke stor berkenaan pada jam 12.58 tengah hari dan keluar kira-kira dua minit kemudian dari pintu wad terbabit dengan membawa barang di dalam plastik berwarna hitam serta beg galas biru disyaki mengandungi kotak topeng muka berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya mendapat perintah reman ke atas suspek hingga 31 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Berita Harian X