Isnin, 30 March 2020 | 2:17pm
Dua penganggur dipenjara tiga bulan selepas mengaku salah mencuri mangga dan mengingkari pelaksanaan PKP di Kampung Cikgu Ali, Arau pada 25 Mac lalu. - Foto NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Dua penganggur dipenjara tiga bulan selepas mengaku salah mencuri mangga dan mengingkari pelaksanaan PKP di Kampung Cikgu Ali, Arau pada 25 Mac lalu. - Foto NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Langgar PKP curi mangga, terus ke penjara

KANGAR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas dua lelaki selepas yang mengaku bersalah mencuri mangga harumanis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 25 Mac lalu.

Saiful Hizam Abdul Latif, 47, dan Noor Shabuddin Saidin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencuri 18 mangga harumanis di sebuah kebun milik seorang pengusaha di Kampung Cikgu Ali, Arau pada jam 9.30 pagi, 25 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua yang dibaca berasingan, Saiful Hizam dari Taman Putra Height, Mata Ayer dan Noor Shabuddin dari Kampung Bukit Ulu Pauh, didapati secara bersama bergerak ke Kampung Cikgu Ali, pada 25 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020) yang boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.

Zuhair meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan Saiful Hizam mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak selain kedua-duanya adalah penganggur.

Kamaliza menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap kedua-duanya bagi tuduhan mencuri dan dua bulan penjara bagi kesalahan mengingkari PKP yang berjalan serentak.

Kedua-dua hukuman berjalan serentak berkuat kuasa tarikh ditahan.

Berita Harian X