Rabu, 1 April 2020 | 5:12pm

24 orang main bola ditahan, ingkar PKP

GEORGETOWN: Seramai 24 lelaki ditahan polis ketika sedang bermain bola sepak di padang sebuah kolej berhampiran Jalan Cengai Tanjung Bungah, dekat sini, selepas ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata kesemua mereka ditahan pada jam 7.14 petang, semalam.

Katanya terdahulu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa terdapat sekumpulan lelaki bermain bola sepak pada jam 5.30 petang, di padang kolej berkenaan.

“Ketika tiba di lokasi, didapati pintu pagar berkunci dan dibuka selepas 15 minit kemudian.

“Pemeriksaan polis mendapati kesemua mereka adalah warganegara tempatan dan penuntut yang tinggal di asrama kolej terbabit ,” katanya kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kesemua lelaki yang berusia antara 24 hingga 48 tahun itu dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut.

Mereka ditahan atas kesalahan melanggar perintah PKP dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

“Kesemua mereka sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk bagi mendapatkan arahan pertuduhan,” katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X