Khamis, 2 April 2020 | 10:28am

COVID-19: Prosiding reman di balai polis seluruh negara

PUTRAJAYA: Prosiding permohonan reman ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diadakan di balai polis seluruh negara.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataannya, berkata arahan itu adalah atas persetujuan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

“Atas permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selepas dipersetujui Ketua Hakim Negara, dimaklumkan semua permohonan reman di mahkamah akan didengar di balai polis seluruh negara sepanjang tempoh PKP.

“Ini bertujuan mengurangkan risiko penularan COVID -19 dengan meminimumkan pergerakan Orang Yang Disyaki (OYDS) dari balai polis ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan meletakkan beberapa garis panduan perlu dipatuhi PDRM antaranya pemakluman awal kepada mahkamah berkaitan dan mematuhi garis panduan COVID-19 dikeluarkan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

“Pihak PDRM juga perlu memastikan keselamatan pegawai dan kakitangan mahkamah serta peguam.

“Selain itu hak orang disyaki untuk diwakili peguam tidak dinafikan,” katanya.

Dalam prosiding permohonan reman, suspek kebiasaannya dibawa ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah tahanan reman sehingga 14 hari bagi membantu siasatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X