Jumaat, 3 April 2020 | 12:30pm

COVID-19: Wanita panggil polis 'idiot' didakwa

PETALING JAYA: Seorang pengurus jualan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan berkelakuan kurang sopan dan menghalang tugas anggota polis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tong Poh Kim, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua tuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Bagi tuduhan pertama, Poh Kin didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap anggota polis dengan berkata, ‘idiot’, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman maksimum denda RM100.

Bagi kesalahan kedua pula, tertuduh didakwa menghalang Koperal Izuan Hasim Nor Hamzah daripada menjalankan tugas dan fungsi jawatannya.

Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Surian menghala masuk ke Pelangi Damansara, Damansara, dalam daerah Petaling pada jam 9.40 pagi, 31 Mac lalu.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon supaya mahkamah meringankan jumlah jaminan terhadap anak guamnya.

Peguam itu berkata, anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak polis dan tidak ada sebarang risiko untuk melarikan diri.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris pula menawarkan jaminan RM1,000 kepada tertuduh bagi kesalalan pertama dan RM5,000 bagi kesalahan kedua.

Nurshahirah kemudian membenarkan Poh Kim dijamin RM1,000 bagi tuduhan pertama dan RM3,000 bagi tuduhan kedua.

Mahkamah juga menetapkan pada 20 Mei ini bagi tarikh sebutan.

Berita Harian X