Ahad, 5 April 2020 | 10:36am

2 lelaki Myanmar bergaduh, seorang maut jatuh daripada tingkat lima

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dalam keadaan tertiarap selepas terjatuh daripada tingkat lima ketika bergaduh dengan rakan senegaranya di Flat Taman Pelangi Bukit Tengah, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.06 petang memaklumkan bahawa terdapat dua lelaki warga asing cedera di tingkat bawah bangunan terbabit.

Katanya, anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati mangsa berusia 30 tahun sudah meninggal dunia dalam keadaan tertiarap manakala rakannya berusia 25 tahun terbaring selepas mengalami kecederaan dengan terdapat pisau pemotong daging bersamanya.

“Pemeriksaan awal ke atas mayat mangsa terdapat kesan kecederaan lain seperti ditikam dengan pisau di beberapa bahagian badannya.

“Rakannya yang cedera di leher dipercayai turun melihat keadaan mangsa yang terjatuh ketika mereka bergaduh sebelum terbaring di sebelah mangsa,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Mustafa berkata, anggotanya turut menemubual seorang wanita warga Indonesia yang tinggal berhadapan dengan rumah mangsa dan suspek untuk siasatan.

“Menurut wanita itu, dia terdengar kedua-dua lelaki itu mula bertengkar sejak jam 1 tengah hari semalam.

“Dia cuba mendengar apa perkara yang membuatkan mereka berdua bergaduh, namun tidak faham kerana menggunakan bahasa Myanmar,” katanya.

Difahamkan, ketika kejadian hanya suspek dan mangsa sahaja berada di rumah berkenaan manakala empat lagi rakan mereka keluar bekerja.

Mustafa berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung punca pergaduhan antara kedua- dua individu berkenaan yang bekerja sebagai operator kilang dan bagaimana kejadian terbabit berlaku hingga mangsa terjatuh dari tingkat lima bangunan rumah yang dijadikan asrama pekerja itu.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat manakala suspek yang mengalami kecederaan di bahagian leher juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan sebelum polis menahannya untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X