Rabu, 8 April 2020 | 4:23pm
Dua lelaki dihukum penjara selama sebulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini atas tuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Ghazali Kori
Dua lelaki dihukum penjara selama sebulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini atas tuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Ghazali Kori

Dua buruh ingkar PKP pilih dipenjara

KUALA TERENGGANU: Dua buruh yang mengaku salah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memilih dipenjara akibat tidak mampu membayar denda

Tertuduh, Johaimi Mohd Din, 41, dan Zakaria Yusof, 52, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Nordiana menjatuhkan hukuman penjara selama sebulan.

Mengikut pertuduhan, dua tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu Kampung Baru, Seberang Takir ke dalam kawasan Masjid Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, jam 11 malam semalam (7 April).

Sementara itu, di mahkamah sama, dua lagi tertuduh, Anuar Ibrahim,47, dan [email protected] Awang,50, masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,000 kerana ingkar arahan PKP.

Dua tertuduh itu turut berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Anuar dan Sidek didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu dari rumah kediaman di Kuala Terengganu ke Kampung Wakaf Tokeh, Chendering, di sini, jam 11 pagi semalam (7 April).

Semua tertuduh yang didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Berita Harian X