Khamis, 9 April 2020 | 1:38pm

COVID-19: Mahkamah tangguh hukuman wanita hina polis

ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, membenarkan permohonan seorang pembantu kedai menangguhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 selepas dia didapati bersalah menghina polis pada 27 Mac lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memfailkan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan tertuduh, Nursahira Mohd Mizuar, 20, Selasa lalu.

Ghazali menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin selain tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Pendang setiap dua minggu.

Mahkamah Sesyen pada 31 Mac lalu, menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan selepas Nursahira mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada jam 10.12 malam, 27 Mac lalu.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan menyebabkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan dua bulan ke atasnya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Azrul Abd Rahman, sebelum itu membantah permohonan semakan itu kerana menyifatkan kesalahan tertuduh adalah serius selain ia turut tular di media sosial.

Beliau meminta tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 sekiranya mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Datuk Naran Singh ketika ditemui, berkata hakim berpuas hati dengan hujahan pihaknya dan membenarkan permohonan itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah memfailkan rayuan berhubung kes itu di Mahkamah Tinggi dan sebutan pertama kes akan dibuat pada bulan hadapan.

Dalam kejadian 27 Mac lalu, seorang wanita ditahan polis jam 11.30 malam, selepas memuat naik status menghina polis di media sosial miliknya.

Wanita itu dikatakan memuat naik status itu selepas marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, kira-kira jam 9 malam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Hukuman terhadap Nursahira Mohd Mizuar,20, yang mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan komunikasi jelik terhadap anggota polis pada 27 Mac lalu ditangguhkan. FOTO/NSTP/AMRAN HAMID
    Hukuman terhadap Nursahira Mohd Mizuar,20, yang mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan komunikasi jelik terhadap anggota polis pada 27 Mac lalu ditangguhkan. FOTO/NSTP/AMRAN HAMID
    Berita Harian X