Khamis, 9 April 2020 | 2:12pm
Teruduh Kuah Hamid dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming
Teruduh Kuah Hamid dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming

Pemandu van dipenjara 4 tahun, 5 sebatan lakukan amang seksual

TAWAU: Seorang pemandu van dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, Mac lalu.

Keputusan dibuat Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas tertuduh Kuah Hamid, 56, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium dan memegang buah dada sebelah kanan mangsa di sebuah bilik penginapan di Jalan Bakau, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 5 Mac 2020.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang tinggal sekampung diamanahkan oleh ibu mangsa untuk menghantar serta membawa mangsa yang berulang alik dari rumah di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, ke tempat kerja di pusat bandar.

Bagaimanapun, pada hari kejadian selepas bekerja, mangsa menaiki van tertuduh untuk pulang telah dibawa ke sebuah bilik penginapan di Jalan Bakau.

Semasa tertuduh dan mangsa berdua di dalam bilik berkenaan, mangsa diberi minum sebotol air mineral yang dipercayai mengandungi bahan terlarang mengakibatkan mangsa berada dalam keadaan separuh sedar sebelum tertuduh melakukan perbuatan itu.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran yang mengendalikan pertuduhan itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor jurang umur antara tertuduh dan mangsa.

Selain itu tegasnya, tertuduh juga didapati mencabuli amanah dan kepercayaan ibu mangsa untuk membawa dan menghantar mangsa berulang alik ke tempat kerja.

Sementara itu, Awang Kerisnada dalam penghakimannya menegaskan perbuatan tertuduh adalah jenayah yang dirancang kerana tindakannya secara sedar memberi mangsa minuman yang mengandungi bahan terlarang adalah kesalahan yang serius.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh reman iaitu pada 3 April 2020.

Berita Harian X