Khamis, 9 April 2020 | 4:18pm

Tidak mengaku tumbuk mata isteri

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk mata isterinya.

Tertuduh, Asrol Hisyam Mohd Ramli, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 29 tahun di sebuah rumah di Kampung Banggol Katong, di sini, jam 6.30 petang pada 3 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan turut berdepan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakilkan Mazlan Md Zein.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Berita Harian X