Sabtu, 11 April 2020 | 10:40am

Kompaun RM1,000 bagi yang masih degil

JOHOR BAHRU: Seramai 140 individu dikenakan kompaun RM1,000 susulan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 8 April hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata semalam saja, pihaknya menahan 33 individu.

Katanya, secara keseluruhan, seramai 1,191 individu di seluruh negeri ini ditahan susulan ingkar arahan sepanjang tempoh PKP sejak 18 Mac hingga 10 April lalu.

“Sehingga kini, 754 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan ingkar PKP.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada kenyataan hari ini.

Katanya, polis Johor akan mengambil tindakan lebih tegas bagi fasa kedua terhadap mana-mana individu yang ingkar dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak diharapkan untuk sentiasa berada di rumah seterusnya mengelak dikenakan tindakan,” katanya.

Berita Harian X