Ahad, 12 April 2020 | 3:17pm
Sembilan individu yang ditahan pihak berkuasa bukan sahaja ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Jalan Burma. - NSTP/Ihsan Polis
Sembilan individu yang ditahan pihak berkuasa bukan sahaja ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Jalan Burma. - NSTP/Ihsan Polis

PKP: 9 ditangkap di pusat hiburan

GEORGETOWN: Sembilan individu di sini bukan sahaja ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah mereka juga ditemukan sedang berhibur di sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Jalan Burmah, hari ini.

Kesemua individu itu kemudian ditahan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan Op COVID-19, pada jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan dan dua wanita warganegara Indonesia.

Katanya ketika kejadian, mereka yang berusia antara 20 hingga 38 tahun itu didapati sedang leka berhibur.

“Seorang daripada lelaki itu juga ditahan berikutan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan awam daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Mereka kemudian dibawa pihak berkuasa ke balai polis bagi tindakan lanjut,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, ujian air kencing mendapati enam daripada lelaki itu positif dadah.

“Kesemuanya sudah direman dan kes disiasat di bawah Sek 6(1)(a) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya lagi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X