Rabu, 15 April 2020 | 3:26pm

Lelaki didenda RM4,600, halang dan maki polis

KANGAR: Seorang pekerja kontrak didenda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menghalang tugas polis, memaki polis dan gagal mengemukakan kad pengenalan, ketika sekatan jalan raya Ops COVID-19 Ahad lalu.

Ong Woi Hong, 29, mengaku bersalah selepas tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Kamaliza menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan, bagi kesalahan dengan sengaja menghalang penjawat awam Asisten Superintendan Alekzandra @ Muhamad Dawan daripada menjalankan kerja-kerja jawatannya, sebagai seorang pegawai kanan polis di sekatan jalan raya Ops COVID-19, di lampu isyarat Jalan Raja Syed Alwi, Kangar pada 10.45 pagi 12 April.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 185 Kanun Keseksaan, yang boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Lelaki itu didenda maksimum RM100 bagi pertuduhan kedua, iaitu mengeluarkan perkataan jelik kepada pegawai polis sama dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan atau keamanan boleh terganggu di lokasi, waktu dan tarikh serupa.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1990 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100.

Dia juga didenda RM1,500 atau penjara lima bulan kerana tidak membawa dan gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan di tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan itu terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas mereka bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Peguam Nurul Husna Muhamad Jamil yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh. – BERNAMA

 Pekerja kontrak, Ong Woi Hong dikenakan denda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret Kangar atas tiga pertuduhan. - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Pekerja kontrak, Ong Woi Hong dikenakan denda RM4,600 oleh Mahkamah Majistret Kangar atas tiga pertuduhan. - Foto NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X