Isnin, 20 April 2020 | 7:28pm
gambar hiasan
gambar hiasan

PKP: Wanita ditahan kali kedua mengaku bersalah

PORT DICKSON: Seorang wanita yang ditahan kali kedua atas kesalahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengaku bersalah atas pertuduhan serupa di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini.

Tertuduh, Haslinda Sulaiman, 25 yang kini menganggur membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia yang dituduh bersama tujuh individu yang lain termasuk rakannya, Mohd Helmi Hasmuni, 33, seorang buruh kontrak dikenakan hukuman empat hari penjara dari tarikh tangkap iaitu 17 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didenda sebanyak RM1000 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda, namun kedua-dua tertuduh membayar denda itu.

Haslinda sebelum ini pernah ditangkap dalam tempoh 2 minggu PKP dilaksanakan.

Lima lagi tertuduh termasuk dua wanita dan remaja juga mengaku bersalah atas kesalahan yang sama, didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Tertuduh, G Vinoth Kumar, 43, bekerja sebagai buruh kontrak, Reika Ratnam, 40, sebagai Penulis Blog, Jamil Majid, 30, seorang Pengawal Keselamatan dan R Vijayakaran, 36 yang bekerja sebagai Pemandu Bas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan juru bahasa Mahkamah.

Semua tertuduh membayar denda RM900 dan penjara empat hari mulai tarikh ditangkap 17 April lalu manakala tertuduh, Jamil Majid dikenakan denda RM1,000 dan penjara empat hari mulai tarikh ditangkap 18 April lalu.

Seorang tertuduh bawah umur turut mengaku bersalah dan sebutan semula kes pada 19 Mei nanti.

Berikutan itu, mereka semua didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X