Khamis, 23 April 2020 | 2:51pm

6 berkumpul di masjid ketika PKP kena denda RM800

KUALA KANGSAR: Enam lelaki termasuk empat warga emas dihukum denda RM800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka didakwa berhimpun dengan maksud melakukan solat berjemaah di sebuah masjid, minggu lalu.

Kesemua tertuduh iaitu Ahmad Anuar Mushaddad Ariffin, 48; Mohd Sazali Hasan Basri, 53; Meor Hassan Meor Ali, 63; Jamilan Alang Md Awin, 76; Zubir Alang Abdul Karim, 75; Azman Yahya, 69, masing-masing memahami pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Majistret Rohaida Ishak.

Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didapati dengan niat berhimpun di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan bagi maksud keagamaan iaitu di Masjid Idrisiah ke-II, Kampung Sayong Tengah, di sini kira-kira jam 8.40 malam pada 16 April lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh berhimpun di ruangan solat di dalam masjid berkenaan sejak jam 7 petang bagi tujuan menunaikan solat Isyak secara berjemaah di mana siasatan mendapati bahawa imam yang bertugas telah memberi nasihat dan notis kepada mereka namun tidak diendahkan.

Mengikut fakta itu juga, siasatan lanjut mendapati kesemua tertuduh tidak mempunyai kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk solat berjemaah di masjid terbabit.

Ini melanggar Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.3) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanis Mohd Zaini, yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman minimum dikenakan atas alasan rata-rata dari tertuduh sudah berusia, mempunyai masalah kesihatan, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selain itu, Nurul Hanis berkata ia juga adalah kesalahan kali pertama bagi kesemua tertuduh berhubung sabitan kes mahkamah di samping berhujah bahawa pihak pengurusan masjid seharusnya memastikan pintu masjid sentiasa berkunci sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan mana-mana individu tidak berkenaan memasukinya.

Bagaimanapun Rohaida menolak hujah itu sambil menegaskan tidak mungkin semua tertuduh kurang jelas mengenai larangan sebarang aktiviti secara berkumpulan termasuk di masjid sepanjang PKP.

"Masjid berkunci atau tidak, ia bukan alasan kerana tidak mungkin masih ada yang tidak tahu (mengenai PKP) susulan laporan di media massa yang setiap hari melaporkan statistik kes COVID-19," kata Rohaida.

Rohaida kemudian menetapkan denda RM800 terhadap setiap tertuduh atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda.

Enam lelaki masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku salah melanggar PKP dengan berhimpun di sebuah masjid, minggu lalu - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian
Enam lelaki masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas mengaku salah melanggar PKP dengan berhimpun di sebuah masjid, minggu lalu - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian
Berita Harian X