Jumaat, 1 Mei 2020 | 2:56pm
SEBAHAGIAN pendatang asing yang tinggal sekitar Jalan Masjid India, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi ditahan dalam satu operasi besar-besaran oleh anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kuala Lumpur. NSTP/Aizuddin Saad

Warga asing di Masjid India digempur

KUALA LUMPUR: Ratusan warga asing di sekitar kawasan Masjid India, di sini di gempur Jabatan Imigresen (Imigresen) hari ini.

Serbuan mengejut itu dijalankan sekitar jam 9.30 pagi selepas hampir 300 pegawai dan anggota Imigresen mengepung kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India.

Operasi mengesan warga asing ini dikatakan mudah dilaksanakan berikutan keseluruhan kawasan yang digempur dipasang kawat duri berikutan perintah PKPD.

Sekitar jam 12.30 tengah hari, anggota Imigresen didapati membawa keluar sebahagian besar warga asing dari Masjid India yang sudah diperiksa dan berkemungkinan mereka yang mempunyai pelbagai jenis kesalahan membabitkan Peraturan dan Akta Imigresen 1959/1963.

Difahamkan operasi berkenaan tertumpu kepada individu yang tinggal di Menara City One dan sekitar kawasan Masjid India.

Operasi diketuai Imigresen itu turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sehingga jam 1.45 tengah hari tadi operasi masih berjalan dan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Imigresen setakat ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dilihat berada di lokasi serbuan.

Berita Harian X