Sabtu, 2 Mei 2020 | 5:06pm
Lelaki Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang mencetuskan kontroversi di dalam Facebook.
Lelaki Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang mencetuskan kontroversi di dalam Facebook.

Long Tiger dibebaskan

MUAR: Lelaki Rohingya dikenali sebagai 'Long Tiger' yang mencetuskan kontroversi kerana membuat siaran langsung di laman Facebook memfitnah pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dibebaskan daripada tahanan reman hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Zuraidah Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas mendapati tiada justifikasi kukuh yang dikemukakan bagi menyambung tempoh tahanan reman terhadap lelaki berusia 34 tahun yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu.

Terdahulu, Long Tiger direman lima hari sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan dan pihak polis hari ini memohon supaya reman terhadap Long Tiger disambung lagi sehingga 5 Mei namun tidak dibenarkan majistret.

Long Tiger direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Suspek juga bukan warganegara Malaysia walaupun mendakwa dilahirkan di Mentakab Pahang diwakili oleh peguamn Datuk Shaharudin Ali.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan pembebasan berkenaan.

Rabu lalu, Ayob Khan mengesahkan penahanan Long Tiger selepas gambar dan video penahanan lelaki itu tular di media sosial.

Long Tiger sebelum itu menjadi bualan netizen kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook.

Berita Harian X