X
Ahad, 3 Mei 2020 | 10:23pm

Bau busuk bawa penemuan mayat di balkoni

KUALA LUMPUR: Teka teki punca bau busuk yang dialami penduduk di Pangsapuri City Height, Sungai Chua, Kajang dekat sini terjawab susulan penemuan mayat seorang lelaki di balkoni sebuah unit kediaman di situ, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata penemuan mayat itu susulan aduan yang diterima pengawal keselamatan di pangsapuri terbabit oleh penduduk berhubung bau yang kurang menyenangkan.

"Pengawal keselamatan itu kemudian membuat satu aduan kepada pihak polis pada jam 4.07 petang sebaik melihat satu mayat di balkoni salah sebuah rumah di tingkat dua pangsapuri berkenaan.

"Pihak Polis dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba Kajang memecah masuk ke dalam rumah berkenaan dan menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring dengan berpakaian lengkap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang berusia 59 tahun itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih dari satu hari.

"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X