Khamis, 7 Mei 2020 | 4:26pm

Lelaki Nepal maut kelar leher sendiri

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Nepal maut selepas mengelar lehernya sendiri di sebuah rumah yang dijadikan asrama pekerja dekat tingkat dua Flat Taman Tanjung, Mak Mandin, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.31 malam daripada seorang wanita memaklumkan seorang pekerjanya yang berusia 22 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, berpandukan maklumat yang diberikan, anggota polis ke lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya.

"Ketika tiba di dapati mangsa sudah meninggal dunia dalam keadaan anggota badannya tertiarap di bahagian anjung luar rumah bersama sebilah pisau di sebelahnya.

"Mayatnya berada dalam keadaan berpakaian lengkap, berseluar dalam, tiada beg duit, jam, barang kemas dan tiada telefon bimbit yang ditemui pada badannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas rumah yang didiami mangsa menemui kesan darah bermula dari bahagian dapur menghala ke bilik selain di bahagian ruang tamu hadapan sehingga tempat mayat ditemui.

"Polis turut mengesan kesan tapak kaki dipercayai milik mangsa dan siasatan hanya menemukan kesan luka besar di lehernya dipercayai tindakan membunuh diri," katanya.

Noorzainy berkata, soal siasat yang dijalankan ke atas rakan-rakan mangsa mendakwa dia berhadapan masalah kemurungan sejak beberapa hari lalu.

"Akibatnya, mangsa bertindak mengelar lehernya sendiri hingga menyebabkan mereka terkejut sebaik menemui mangsa yang sudah tidak bernyawa.

"Mangsa tinggal bersama sembilan rakan senegara yang bekerja di sebuah kilang dekat Mak Mandin sejak tiga bulan lalu," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan laporan mendapati mangsa maut akibat kecederaan hirisan pada leher disebabkan objek tajam.

"Laporan bedah siasat turut memaklumkan corak kecederaan yang dialami si mati berpadanan dengan cubaan bunuh diri.

"Kes diklasifikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X