Jumaat, 8 Mei 2020 | 11:00pm
POLIS bantu pantau bendung penularan COVID-19. (Foto/NSTP)
POLIS bantu pantau bendung penularan COVID-19. (Foto/NSTP)

COVID-19: Polis tubuhkan 142 pasukan pematuhan di KL, Putrajaya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 142 pasukan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terdiri daripada 926 pegawai dan anggota ditugaskan membuat pemantauan di seluruh kontinjen Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pasukan itu bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKPB, terdapat 13 aktiviti yang dilarang seperti yang termaktub dalam Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020.

"Antara aktiviti itu adalah hiburan, riadah, rekreasi, keagamaan, kebudayaan, kesenian dan perniagaan yang boleh menyebabkan ramai orang berhimpun, berlaku sentuhan badan dan sukar mengawal penjarakan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh PKPB ini, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"SOP ini termasuklah penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan COVID-19, keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan Orang Kurang Upaya.

"Selain itu, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara dalam talian," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya mematuhi larangan dan SOP PKPB ini demi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta keluarga.

"Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang PKPB ini bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 ini berjaya kita putuskan bersama.

"Jika orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.– BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X