Ahad, 10 Mei 2020 | 9:23am

3 lelaki ditahan angkara dadah, arak, 'wheelie'

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki dadah dan memandu kereta dalam keadaan mabuk di Jalan Tun Sambanthan dekat Brickfields, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata suspek berusia 37 tahun itu ditangkap jam 10.30 malam dengan bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ganja seberat 21 gram.

"Pemandu Kia Spectra itu dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee untuk menjalani ujian pernafasan mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999).

"Suspek disyaki memandu kenderaan itu di bawah pengaruh alkohol. Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

"Lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 45(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam operasi berasingan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dekat Jalan Semarak pada jam 11.30 malam hari sama, Zulkefly berkata, pihaknya menahan dua lelaki kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal.

"Suspek berusia 20 dan 24 tahun dilihat mengangkat tayar hadapan atau membuat aksi 'wheelie'.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987," katanya.

Berita Harian X