X
Ahad, 10 Mei 2020 | 2:22pm

Ditahan buat aksi 'superman'

MARANG: Polis menahan dua lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi 'superman' dan 'zig-zag' dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Jalan Telemong- Bukit Payong, di sini kelmarin.

Tindakan berbahaya dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun itu disedari pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu yang melakukan operasi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata anggota yang melakukan pemantauan terserempak dengan dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ secara berbahaya.

Katanya, mereka turut membuat aksi 'superman' dan 'zig-zag' bermula dari susur lebuh raya berkenaan sebelum anggota bertindak menahan mereka untuk tindakan lanjut.

"Dua suspek dan motosikal ditunggang mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan aksi.

"Hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati mereka yang bekerja sebagai pemandu lori dan buruh itu negatif dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zain berkata, LPT2 sering menjadi lokasi pilihan bagi 'mat rempit' untuk beraksi walaupun operasi kerap diadakan.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana individu yang dikesan melanggar undang-undang dan operasi berterusan akan diadakan bagi mengekang aktiviti samseng jalanan.

Berita Harian X